Bale,29, masuk sebagai pemain gantian ketika Real seri 2-2 menentang AS Roma di Stadio Olimpico, awal pagi tadi sebelum tewas menerusi penentuan penalti.

Itu adalah aksi pemanas badan ketujuh dan terakhir buat Real sebelum kempen La Liga membuka tirai minggu depan, dan Bale hanya bermain dalam tiga perlawanan - kesemuanya sebagai gantian.

Zidane berkata, dia meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada Bale dan seorang lagi pemain yang cuba 'dikeluarkan' sebelum ini, James Rodriguez.

Rodriguez bagaimanapun langsung tidak disenaraikan di bangku simpanan ketika berdepan Roma.

"Bale dan James adalah pemain Real Madrid.

"Apa sahaja boleh berlaku sehingga 31 Ogos ini tetapi ketika ini, kami tetap mempercayai pemain kami 100 peratus," kata Zidane.

Zidane sebelum ini menegaskan Bale tidak termasuk dalam pelan pemulihan Real, malah mengetepikan pemain Wales itu dalam tiga aksi persahabatan menentang RB Salzburg, Fenerbahce dan Tottenham.

Bagaimanapun, selepas perpindahannya ke China bulan lalu menemui kegagalan, Bale kembali beraksi menentang Roma dan dibawa masuk sebagai gantian pada 30 minit terakhir perlawanan.

Ketika kedudukan terikat, dia hampir muncul wira namun percubaannya sedikit tersasar dan sekali lagi pada minit ke-92.

Bagaimanapun, Bale belum pasti disenaraikan Zidane bagi berdepan Celta Vigo dalam aksi pembukaan musim, Sabtu ini.

Real mempamerkan aksi lebih baik ketika menentang Roma selepas mengharungi jelajah pramusim yang hambar dengan hanya dua kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan dicatat.

Dalam aksi di Rom, kesemua empat gol dijaringkan pada babak pertama dengan Roma dua kali bangkit menerusi jaringan Diego Perotti dan Edin Dzeko selepas Marcelo serta Casemiro meletakkan Real di hadapan.

Bale menyempurnakan sepakan penalti tetapi rembatan Marcelo yang terkena palang mengesahkan kemenangan Roma.

Kelab Itali itu membuka tirai Serie A dengan menentang Genoa di tempat sendiri pada 25 Ogos ini. - AGENSI