Badan induk itu dalam satu kenyataan berkata, sekumpulan penyokong tuan rumah dalam saingan Kumpulan A Sukan SEA Ke-29 (KL2017) di Stadium Shah Alam telah melanggar Artikel 58.1 (Diskriminasi), dibaca dengan Artikel 65.1 (Tingkah Laku Penonton) Kod Disiplin dan Etika AFC.

“FAM didenda AS$15,000 (RM63,500) kerana sekumpulan penyokong tuan rumah menyanyikan ‘Kami turun ke Shah Alam, satu jiwa sokong Malaysia, Brunei anjing dibunuh saja’ ketika Malaysia menentang Brunei pada 14 Ogos lalu.’

“FAM juga didenda AS$15,000 (RM63,500) kerana sekumpulan penyokong tuan rumah menyanyikan ‘Kami turun ke Shah Alam, satu jiwa sokong Malaysia, Singapura anjing dibunuh saja’ dan ‘Singapura itu anjing, Singapura itu anjing, Singapura itu anjing’.

“Mereka membuat kesalahan itu sewaktu Malaysia menentang Singapura pada 16 Ogos lalu,” kata AFC selepas Jawatankuasa Disiplin dan Etika mereka bermesyuarat pada Jumaat lalu.

Lebih malang lagi, FAM turut menerima hukuman tambahan atas kesalahan penyokong luar yang membaling 50 hingga 60 botol minuman ke padang ketika aksi Kumpulan B melibatkan Indonesia dan Kemboja pada 24 Ogos. Badan bola sepak negara itu didenda AS$5,000 (RM21,167).

FAM selaku tuan rumah didenda kerana melanggar Artikel 64.1 (Penganjur Perlawanan) Kod Disiplin dan Etika AFC.

FAM juga didenda ekoran tindakan penyokong membakar mercun pada minit ke-87 ketika separuh akhir Malaysia menentang Indonesia pada 26 Ogos lalu.

Badan induk itu dikenakan denda AS$7,500 (RM31,751) kerana melanggar Artikel 65.1 dan Artikel 64.1 Kod Disiplin dan Etika AFC.

Semua denda perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari bermula hari ini. Secara keseluruhan, FAM kerugian AS$42,500 (RM180,000) hanya kerana kesalahan penyokong sepanjang temasya 19-30 Ogos.