Presidennya Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, PFAM atau mana-mana pihak yang terlibat, seharusnya memberikan masa dan ruang kepada KAFA, memandangkan persatuan itu hanya baharu sebulan diterajui oleh kepimpinan baharu.

“Baru sebulan saya dan barisan kepimpinan lain bersama persatuan, dan ia terlalu awal untuk mengulas berhubung bayaran tertunggak.

“Kami akan berbincang dan meneliti isu tunggakan ini sebelum apa-apa keputusan dilakukan,” katanya mengulas mengenai dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif, PFAM Izham Ismail yang mendedahkan beberapa pasukan bola sepak dalam negara masih mempunyai tunggakan gaji pemain sehingga mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.

Antara pasukan itu ialah Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang.

Wan Abdul Rahim berkata, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, beliau seharus merujuk terlebih dahulu barisan kepimpinan KAFA bagi mengelakkan percanggahan kenyataan.

“Buat masa ini saya tidak boleh ulas secara lanjut, perlu rujukan daripada orang lama dalam persatuan menandangkan saya hanya sebulan bersama KAFA.

Awal Julai lalu, Wan Abdul Rahim dilantik sebagai Presiden KAFA pada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) KAFA bagi menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan yang melepaskan jawatan presiden. - BERNAMA