Ketepikan dulu perebutan kejuaraan liga terlebih dahulu kerana yang penting, dapat me­ngalahkan City merupakan satu kepuasan buat pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan anak-anak buahnya buat masa ini.

Persoalannya, mam­­pu­kah Liverpool yang baharu kehila­ngan pemain yang telah memainkan peranan besar melonjakkan nama mereka musim ini iaitu Phillippe Coutinho, mempunyai senjata baharu yang le­bih ampuh di jentera serangan?

Mengharapkan ada pemain lain mampu mengisi kekoso­ngan yang ditinggalkan Coutinho untuk bergandingan dengan Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino dalam merobek gawang City merupakan tanda tanya besar yang sukar dijawab ketika ini.

Gandingan empat pemain itu agak cemerlang musim ini kerana menjadi penyumbang besar kepada sejumlah 50 gol yang berjaya dijaringkan dalam aksi Liga Perdana, kurang sedikit berbanding City dan lebih lima gol berbanding Manchester United.

Mungkin di benteng pertahanan Liverpool boleh dianggap lebih mantap dengan keha­diran Virgil Van Dijk yang baharu dibeli dari Southampton terutama dalam menyekat jentera serangan City yang cukup hebat musim ini.

Cuma apa yang penting ialah Klopp kena membuktikan skuad bimbingannya benar-be­nar tidak terjejas dengan kehilangan Coutinho dalam pertemuan ini dengan kemenangan sudah pasti mampu mengukuhkan keyakinan penyokong mereka. – Agensi