Baddrol mendapat undian tertinggi iaitu 9,836 undi menewaskan pemain Selangor FA, Ifedayo Olusegun yang memperoleh 6,037 undi diikuti pemain Terengganu FC, Sanjar Shaakhmedov (4,235 undi), pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rashid (2,076 undi) dan Ronaldo Henrique Silva dari Perak FA yang memperoleh 2,051 undi.

Baddrol yang kali ketiga merangkul anugerah tersebut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500, trofi, sebingkai gambar, jersi khas dan gel sukan yang disampaikan Eksekutif Perundangan PFAM, Azzairi Rosle di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini.

Sementara itu, Baddrol berkata anugerah yang diterima hari ini akan menjadi motivasi buat dirinya untuk bermain dengan sepenuh hati pada perlawanan Piala Malaysia menentang PKNS FC malam esok di Stadium Darul Aman.

“Ini merupakan anugerah buat pasukan Kedah dan bukan atas individu kerana pasukan serta pengurusan telah banyak membantu saya. Ini akan dijadikan sebagai motivasi untuk memantapkan pemainan esok dan fokus utama adalah untuk memperoleh tiga mata penuh.

“Esok kita main di laman sendiri jadi tiada tekanan dan kami (pasukan) nekad dan impikan kemenangan mata penuh. Siapa pun yang akan turun bermain esok, saya harap dapat main dengan penuh semangat sepanjang tempoh perlawanan,” katanya. - BERNAMA