Pengendali Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menegaskan, biarpun misi menjinakkan naib juara 2016 itu tidak mudah, namun beliau telah menyiapkan pasukan untuk melakukan yang terbaik, termasuk menghadapi penentuan sepakan penalti.

Kekalahan mengejut juara bertahan, Jepun 0-4 kepada Uzbekis­tan pada suku akhir hari ini turut membuka mata Malaysia bahawa apa sahaja boleh berlaku.

“Korea Selatan memiliki banyak pengalaman beraksi di pentas besar dan saya tidak nafikan skuad muda mereka bagus, namun saya fikir sudah sampai masanya kita berhenti bercakap tentang sejarah sebab lebih baik kita fokus kepada suku akhir.

“Diberi kepercayaan untuk ke final memang sesuatu yang bagus tetapi kita juga harus realistik apabila bercakap sama ada kita boleh layak ke pe­ringkat seterusnya atau tidak, kita perlu melihat sudut yang berbeza. Apa jua keputusan yang dilakar esok kita perlu terima.

“Bagaimanapun kami menyertai kejohanan ini untuk menimba pengalaman dan cuba mencipta kejutan. Saya sudah bersedia menghadapi pertarungan selama 90 minit atau 120 minit,” kata Kim Swee dalam sidang ­akhbar di sini, hari ini.

Menurut Kim Swee, biarpun Korea Selatan adalah pilihan untuk menjuarai kejohanan ini, namun mereka juga memiliki kelemahan.

Membenarkan gawang dibolosi dua gol ketika menewaskan Australia 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan D membuktikan pasukan itu tidaklah terlalu kebal.

Malaysia pula melakar kejutan me­ngalahkan naib juara 2013, Arab Saudi 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C. Terdahulu mereka mengikat Jordan, pasukan tangga ketiga pada 2013, 1-1 dan tewas 1-4 kepada Iraq.

Sementara itu, empat pemain negara berdepan kecederaan iaitu Dominic Tan (kaki), Syazwan Andik (hamstring), Irfan Zakaria (paha) dan Matthew Davies (betis), manakala Syahmi Safari demam.