Begitulah halnya kepada pemain bola sepak khususnya penyerang yang ditugaskan untuk mendapatkan gol. Bukan mudah apalagi terpaksa bersaing de­ngan pemain yang lebih bagus terutama dengan lambakan penyerang import yang kini beraksi untuk pasukan dalam saingan Liga Super.

Menjaringkan gol tidak semestinya membawa kemenangan. Dalam sukan bola sepak, anda mungkin menjaringkan gol untuk kemenangan, ada yang mendapatkan gol untuk menyelamatkan pasukan daripada kekalahan dengan keputusan seri dan yang malang, anda menjaringkan gol tetapi pasukan yang diwakili tewas.

Begitulah aturan permainan dalam sukan yang sentiasa mendapat perhatian di seluruh dunia. Mereka mencari gol bukan hanya untuk pasukan bahkan kepuasan diri apabila di penghujung pertandingan, muncul sebagai penjaring gol terbanyak.

Bersaing dengan pemain-pemain import yang menerima bayaran lumayan adalah satu persaingan yang sihat dalam kalangan barisan pemain tempatan. Pertandingan Liga Super bagi musim 2019 baharu sahaja bermula minggu lalu. Mungkin terlalu awal untuk meramal pa­sukan mana bakal bergelar juara dan siapa penjaring terbanyak.

Aksi perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah menyaksikan gelaran juara menjadi milik pemenang Liga Super sebanyak lima kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) yang menewaskan Perak 1-0, tetapi, Pahang mengungguli carta liga dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Kuala Lumpur.

Jika, JDT mengharapkan sentuhan gol Gonzalo Cabrera, Pahang pula megah dengan kepulangan semula ayam tambatannya, Dickson Nwakaeme yang menyumbangkan dua gol ketika Tok Gajah menumbangkan Kuala Lumpur.

Kepulangan Nwakaeme nyata melegakan jurulatihnya, Dollah Salleh kerana usahanya memujuk penyerang berbadan sasa dari Nigeria itu untuk beraksi dengan Tok Gajah dirasakan berbaloi. Terengganu pula mengharapkan sentuhan gol pemain kelahiran England, Nicholas Swirad ketika seri 1-1 menentang PKNS FC.

Seperti musim-musim sebelumnya, pemain import se­ring sahaja menguasai senarai penjaring terbanyak. Di mana agaknya kedudukan penyerang-penyerang tempatan.

Kali terakhir pemain Malaysia menduduki carta teratas penja­ring terbanyak ialah pada tahun 2011 menerusi Abdul Hadi Yahya dari Terengganu yang berjaya menjaringkan 20 gol. Selepas itu, ia dikuasai pemain import seperti Jean Emmanuel Effa Owona (Negeri Sembilan) dan Forkey Doe (Terengganu) yang berkongsi 15 gol pada 2012.

Tahun 2013, Marlon Alex James muncul penjaring terba­nyak (16 gol) bersama pasukan ATM, Paulo Rangel (Selangor) dengan 16 gol bagi musim 2014, Dramane Traore (20 gol) ketika bersama PDRM, pemain termahal JDT, Jorge Pereyra Diaz (18 gol) pada 2016, Muhammed Ghaddar (23 gol) bersama Kelantan dan JDT. Yang terbaharu musim lalu, Rufino Segovia ketika mewakili Selangor dengan 19 gol.

Selepas enam perlawanan liga pada minggu pertama berlangsung, sebanyak 14 gol dihasilkan dan kebanyakannya menerusi jaringan pemain import. Mungkin pemain kita ‘lambat panas’ atau belum panas? Bukan bertujuan untuk menghakimi pemain tempatan tetapi yang jelas daripada kesemua gol yang dijaringkan, ia dihasilkan pemain import.

Selain Nwakaeme dan Cabrera, pemain import yang menja­ringkan gol dalam aksi sulung, musim ini, ialah Saddil Ramdani dari Indonesia (aksi Pahang menentang Kuala Lumpur), Li­ridon Krasniqi dengan jaringan cantik bersama Anselmo Casagrande ketika Melaka menumbangkan PJ City 2-1 dan Antonio German yang menjaringkan gol Selangor ketika seri 1-1 menentang Felda.

Sebagai bayangan Nwakaeme, Liridon, Cabrera dan pe­nyerang Selangor, Rufino Segovia bolehlah diletakkan dalam senarai calon yang bakal me­ngisi kedudukan penjaring terbanyak. Segovia dari Sepanyol belum menemui jaringan tetapi namanya bukan asing dalam Liga Malaysia kerana pernah muncul penjaring terbanyak, musim lalu, selain, sudah bermain bersama tidak kurang 12 buah kelab.

Namun, kita masih ternanti-nanti sentuhan berbisa Safawi Rashid, Hazwan Bakri, Norshahrul Idlan Talaha, Akhyar Rashid, Amri Yahyah dan lain-lain. Setakat ini, hanya Afiq Razali (Kuala Lumpur), Shakir Hamzah (Kedah), R. Barathkumar (Peta­ling Jaya City), pemain tengah Felda, Hadin Azman dan pemain PKNS, Malik Mat Arif menjadi pemain tempatan yang berjaya menjaringkan gol.