Dalam aksi kedua Liga Perdana Inggeris itu, Alexandre Lacazette terlebih dahulu meletakkan The Gunners di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-13 mengatasi Nick Pope.

Jaringan itu jelas memberikan keceriaan kepada penyokong di Stadium Emirates.

Dalam perlawanan itu, Burnley memiliki dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi Chris Wood dengan percubaan pertamanya tersasar jauh manakala percubaan kedua berjaya diselamatkan Bernd Leno.

Pasukan pelawat bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan dua minit sebelum masuk waktu rehat dengan Ashley Barnes meledak jaringan ketiganya dalam dua aksi pertama musim ini.

Minit ke-64 menyaksikan Aubameyang menjadi wira pasukan tuan rumah apabila meledak jaringan kemenangan menerusi rembatan rendah menerjah tepat ke penjuru bawah gol.

Skuad kendalian Unai Emery berjaya mengekal rekod bersih dalam dua perlawanan untuk kali pertama dalam sembilan musim.-AGENSI