Madrid menjulang trofi Liga Juara-juara buat kali ketiga berturut-turut pada musim 2017-18 dengan Ronaldo sekali lagi menjadi watak utama apabila meledak 15 gol dalam kejohanan itu.

Kapten Portugal itu kemudian meninggalkan La Liga dengan perpindahan bernilai 112 juta euro (RM538.48 juta) untuk menyertai Juventus selepas merangkul sembilan trofi di Santiago Bernabeau.

Simeone percaya bahawa pasukannya yang menamatkan persaingan di kedudukan kedua di atas Madrid dalam kempen La Liga musim lalu dan menewaskan Los Blancos dalam pertan­dingan Piala Super berada di tahap yang sama dengan seteru terdekat mereka itu.

“Berdasarkan keputusan, kami tidak jauh beza dengan Madrid atau Barcelona, dari segi karakter individu, ya.

“Tanpa Cristiano, kami kini ber­ada di tahap yang sama de­ngan Real Madrid dan saya pasti mengenainya,” kata Simeone.

Dia kemudian berkata tidak dapat menerima bahawa Griezmann, yang berjaya merangkul Piala Dunia bersama Perancis dan membantu Atletico menjulang Piala Europa dan Piala Super, tidak tersenarai dalam Anugerah Pemain Terbaik FIFA.

Hanya Ronaldo, Luka Modric dan Mohamed Salah tersenarai dan keputusan itu disifatkan Simeone sebagai tidak masuk akal. – AGENSI