Arsene Wenger menutup tirai kariernya selama 22 tahun selaku pengurus bersama kelab London utara tersebut sebaik musim berakhir dan usaha mencari pengganti pengendali warga Perancis itu masih lagi berjalan.

Walaupun, Arsenal turut membariskan nama-nama berpengalaman sebagai calon pengganti seperti bos Juventus, Max Allegri dan bekas jurulatih Barcelona, Luis Enrique, tetapi Arteta sebaliknya yang berada di dalam fikiran mereka.

Menurut laporan media Britain, Arsenal telahpun memberitahu skuad bahawa Arteta 90 peratus hampir pasti akan menggantikan Wenger.

Warga Sepanyol itu menjadi calon pilihan Ivan Gazidis serta Josh Kroenke, anak lelaki kepada pemilik Arsenal, Stan, dan kelab kini bersiap sedia untuk menyegerakan pelantikan tersebut.

Walaupun, lembaga Arsenal hanya meletakkan tarikh akhir Piala Dunia untuk mencari pengurus baharu, akhbar Britain, Daily Mail mendakwa, ketibaan Arteta mungkin akan diumumkan pada penghujung minggu ini.

Pelantikan Arteta disebabkan kegagalan Arsenal untuk mendapatkan calon yang benar-benar sesuai menggalas tanggungjawab tersebut, dengan Enrique menuntut gaji terlalu tinggi dan Allegri pula cenderung untuk kekal di Juventus, selain tuntutan warga Itali itu yang mahu lebih kuasa diberikan kepadanya berhubung perpindahan pemain.

Ketua Perhubungan Bola Sepak Arsenal, Raul Sanllehi lebih menggemari Enrique, semantara Sven Mislintat yang berminat dengan Julian Nagelsmann pula tidak dibenarkan meninggalkan Hoffenheim pada musim panas ini.

Arteta bersedia untuk mengambil tanggungjawab di Arsenal dan telahpun merancang bagi melantik staf dibalik tabir dengan pemain tengah Gunners, Santi Cazorla berada dalam pertimbangan untuk diberi peranan sebagai penolong pengurus serta jurulatih. – AGENSI