Pengendali skuad Malaysisa B-23 itu percaya, peluang keempat-empat pasukan untuk mencari tiket ke suku akhir masih terbuka selepas Arab Saudi sekadar seri 0-0 dengan Iraq semalam, selepas sebelum itu diikat 2-2 oleh Jordan.

Biarpun Malaysia dibenam 1-4 oleh Iraq dalam aksi pembukaan, Kim Swee percaya, anak-anak buahnya sudah belajar daripada kesilapan dan kejayaan mengekang Jordan membuktikan mereka sudah bersedia untuk melakar kejutan apabila berdepan Arab Saudi.

“Arab Saudi tidak mempunyai banyak perbezaan dengan pasukan Arab yang lain seperti Iraq dan Jordan. Mereka memiliki corak permainan pantas dan skil individu pemain yang bagus dan boleh memberi masalah kepada benteng pertahanan kami.

“Sudah tentu Arab Saudi adalah pasukan pilihan untuk perlawanan pada Selasa ini dan saya tahu mereka pasti mahukan sekurang-kurangnya satu mata untuk mara ke suku akhir.

“Bagaimanapun, pada masa sama kita juga memerlukan kemenangan untuk memastikan tiket ke suku akhir. Saya rasa, Arah Saudi pasti lebih tertekan kerana mereka juga memerlukan keputusan positif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas latihan di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keadaan pemain, Kim Swee berkata, anak-anak buahnya bebas daripada sebarang hukuman penggantungan, namun apa yang membimbangkan adalah masalah kecederaan.

“Tiada pemain yang digantung tetapi Safawi Rasid, Dominic Tan, Syazwan Andik Ishak dan Irfan Zakaria menghadapi sedikit kecederaan. Saya akan memantau keadaan mereka sama ada boleh bermain menentang Arab Saudi atau tidak,” katanya.

Walaupun Malaysia menghuni tangga tercorot dengan satu mata namun Arah Saudi yang menduduki tempat ketiga berkongsi dua mata dengan Jordan tetapi dipisahkan dengan perbezaan gol manakala Iraq di tempat teratas mengumpul empat mata. - UTUSAN ONLINE