Kata Edgardo, walaupun Arab Saudi turun dengan status naib juara 2013 dan Malaysia pula dilihat sebagai lawan paling lemah dalam Kumpulan C, namun beliau tidak pernah mengambil mudah cabaran anak-anak Datuk Ong Kim Swee, malah memuji ketangkasan penjaga gol negara, Haziq Nadzli.

“Tidak. Saya tidak pernah memandang rendah terhadap Malaysia, malah pasukan lain. Kami cuba sedaya upaya untuk melepasi peringkat kumpulan namun keadaan tidak memihak kepada kami.

“Saya kagum melihat penjaga gol Malaysia di mana dia memberi arahan dengan baik di benteng pertahanan dan saya melihat dia bertahan dengan baik. Saya akui dia bagus,” kata kepada pemberita dalam sidang akhbar hari ini.

Kata Edgardo lagi, walaupun Malaysia hanya dihidangkan satu peluang terbaik, mereka berjaya memanfaatkannya berbanding anak-anak buahnya yang bekerja keras tetapi gagal melakukan penyudah.

“Kami sudah berusaha sedaya yang termampu, malah kami juga mengubah strategi dengan melakukan hantaran bola jauh namun masih gagal membolosi gawang Malaysia. Lawan hanya ada satu peluang sahaja dan mereka menggunakan peluang tersebut dengan sebaik mungkin.

“Saya akui perlawanan pada hari ini amat tegang kerana kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan dan saya tidak nafikan pemain saya juga berasa gemuruh,” katanya lagi.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Danial Amier Norhisham pada minit ke-28 dan skuad muda negara muncul naib juara Kumpulan C di belakang Iraq yang menang tipis 1-0 ke atas Jordan.

Kemenangan ini bakal menemukan Malaysia dengan juara Kumpulan D yang akan ditentukan esok, iaitu sama ada Korea Selatan, Australia atau Vietnam. - UTUSAN ONLINE