Beliau mula mengorak langkah untuk melakukan tranformasi terhadap pasukan bola sepak negeri ini dengan mengatur pelbagai perancangan selain membawa masuk ramai pemain-pemain bertaraf bintang.

Penyokong pada masa itu, cukup teruja dengan pembaharuan tersebut dan mengikuti rapat perkembangan Singa Utara.

Malah, puluhan ribu yang hadir di Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini cukup mengambarkan betapa tingginya harapan mereka untuk melihat Perlis kembali bangkit.

Pada peringkat awal, segala perancangan dilihat berjalan lancar sehinggalah satu demi satu isu berbangkit seterusnya memberi imej cukup buruk terhadap bola sepak negeri ini.

Bermula dengan kegagalan pihak pengurusan menunaikan janji menyelesaikan tunggakan gaji 18 pemain musim lalu, diikuti dengan kegagalan melunaskan gaji pemain skuad utama sehingga kepada isu tidak ada kelengkapan untuk berlatih.

Setiap hari ada sahaja cerita berkaitan Perlis di media-media cetak mahupun elektronik.

Cukup memalukan, itu yang dapat disimpulkan dengan situasi semasa yang melanda Singa Utara ini dan dalam tempoh seminggu dua ini, kita pun tida tahu apakah nasib Perlis yang sedang beraksi dalam Liga Perdana ketika ini.

Kini, harapan menggunung rakyat Perlis terhadap Presiden PFA yang dianggap hero sebelum ini sudah mula hilang.

Maka timbul pula pelbagai persoalan, siapakah sebenarnya Ahmad Amizal ini, latar belakangnya dari mana, adakah ada duit RM15 juta seperti yang dimaklumkan kepada para pemain di awal dahulu.

Jika ada peruntukkan itu, kenapa tidak selesaikan perkara paling asas iaitu gaji pemain. Jika tidak ada, adakah beliau bercakap tidak benar dalam soal tersebut?.

Selepas satu demi satu isu berbangkit, kepercayaan penyokong terhadap pihak pengurusan sudah mula terhakis. Jika tidak mampu, adalah lebih baik mengundur awal daripada menanggung malu yang lebih teruk selepas ini.

Jika rasa mampu, selesaikan segala isu berbangkit khususnya soal gaji. Percayalah, jauh di sudut hati, penyokong sebenarnya masih berharap untuk melihat Perlis kembali bangkit. Jangan kecewakan mereka.- UTUSAN ONLINE