FAM akan memiliki presiden baharu menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah apabila badan induk bola sepak negara itu mengadakan kongresnya pada 25 Mac depan.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail dilihat sebagai calon untuk memenangi jawatan itu manakala peluang Annuar agak sukar. Di atas kertas TMJ dilihat mempunyai kelebihan selepas mendapat banyak pencalonan berbanding Annuar hanya satu iaitu daripada Kafa.

Namun, calon Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail menyifatkan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Annuar mempunyai kewibawaan tersendiri jika diberi kepercayaan memimpin FAM.

Menurutnya, Annuar juga mempunyai pengalaman luas kerana pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM selain membawa pasukan bola sepak Kelantan ke peringkat tertinggi.

Katanya, dua tokoh tersebut sememangnya mempunyai kelebihan masing-masing untuk membawa perubahan dalam bola sepak negara.

“Selain membawa Kelantan daripada sebuah pasukan tidak dikenali sehingga dihormati, Annuar juga telah banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan bola sepak negara.

“Saya yakin perwakilan yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan bola sepak dapat membuat pilihan terbaik demi masa depan bola sepak negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai peluangnya dalam perebutan kerusi Naib Presiden FAM, Rosmadi berkata beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

Dalam perkembangan berkaitan, legenda bola sepak Kelantan, Mohd. Hashim Mustapha menyeru semua perwakilan yang layak mengundi pada pemilihan Sabtu depan agar membuat pilihan yang tepat.

Bagaimanapun beliau berharap kedua-dua tokoh itu dapat berganding membantu bola sepak negara meskipun salah seorang daripada mereka tewas dalam pemilihan nanti.

“Saya lihat kedua-dua tokoh ini mempunyai kelebihan, Tan Sri Annuar kalau kita dapat lihat telah membawa Kelantan daripada ‘kosong’ sehingga menjadi pasukan bola sepak yang sangat digeruni.

“Begitu juga TMJ, telah membawa pembaharuan kepada JDT sehinggakan kelab tersebut berada dalam kelas tersendiri yang menjadi ikutan pasukan-pasukan lain,” katanya.

“Kalau boleh kita hendak lihat Annuar dan TMJ sama-sama berada dalam FAM. Kita tidak mahu salah seorang daripada mereka tiada dalam pengurusan baharu badan induk bola sepak negara itu nanti,” katanya.