Kemenangan itu memastikan juara bertahan itu menyertai AC Milan dan Lazio mara ke suku akhir.

Pertahanan kiri, Spinazzola, kembali ke Juventes pada musim 2018-19 selepas dipinjamkan ke kelab Atalanta sebelum ini selama dua musim.

Spinazzola telah mempamerkan aksi yang menyerlah dan Juventus mengambil keputusan untuk membawanya semula ke dalam skuad utama dan menawarkan persaingan untuk Alex Sandro.

Pemain berusia 25 tahun itu mengalami masalah kecederaan sebelum ini apabila menjalani pembedahan lutut Oktober lalu.

Kemenangan ke atas Bologna merupakan aksi pertamanya buat Juve dan Allegri mengagumi usaha yang ditampilkan pemain tersebut.

“Dia telah mengharungi perlawanan dengan cemerlang. Ia merupakan penampilan sulungnya sejak kembali bersama pasukan dan Spinazzola merupakan pemain yang penting buat Juventus,” kata Allegri.

Kelab yang berpangkalan di Turin itu menang kejuaraan berganda liga dan piala di Itali bagi empat tahun terakhir dan menyasarkan untuk muncul pasukan pertama daripada lima liga utama Eropah memenangi piala domestik lima tahun berturut-turut, sekalipun Barcelona dan Paris Saint-Germain memburu objektif sama musim ini.

Cagliari atau Atalanta akan berdepan Juventus pada suku akhir hujung bulan ini manakala Milan menempah pertemuan dengan Napoli atau Sassuolo dan Lazio berdepan pemenang antara Inter Milan dan Benevento.- AGENSI