Beliau berkata, pemainnya menampilkan permainan terbaik meskipun beraksi tanpa kelibat pemain kebangsaan, Nazirul Naim Che Hashim dan pemain pertahanan import dari Australia, Zac Anderson.

“Saya bagaikan tidak percaya apabila pemain simpanan seperti Idris Ahmad dan Muhammad Rafiuddin Roddin mempamerkan permainan yang begitu cemerlang dalam menafikan serangan lawan.

“Saya akui kita tidak mempunyai skuad yang besar disebabkan kecederaan, namun saya bangga kerana mereka mencipta sejarah malam tadi,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Perak yang beraksi di hadapan lebih 8,000 penonton berjaya menewaskan Kitchee SC 6-5 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan.

Kejayaan itu melayakkan Perak untuk beraksi pada pusingan ketiga kelayakan ACL berdepan wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada 19 Feb ini di Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu.

Mengulas mengenai perlawanan, Mehmed berkata, Perak sepatutnya meraih kemenangan awal jika beberapa peluang terhidang di hadapan gol lawan dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan serangan.

Selain itu, beliau berharap Nazirul dan Zac Anderson akan pulih sepenuhnya sebelum aksi sepak mula menentang Kuala Lumpur bagi aksi Liga Super Malaysia 2019, Jumaat ini.

Sementara itu jurulatih Kitchee SC, Alex Chu berkata, beraksi dengan 10 pemain selama hampir 40 minit menyebabkan pasukannya sukar untuk mengimbangi corak serangan yang dipamerkan skuad The Bos Gaurus.

Bagaimanapun beliau memuji para pemainnya yang tidak berputus asa dan berjaya mengheret Perak sehingga ke penentuan sepakan penalti.

“Pemain menunggu peluang yang diberikan dan akhirnya mereka berjaya menyamakan kedudukan namun Perak bernasib baik dalam penentuan sepakan penalti dan kita juga gagal menggunakan peluang itu,” katanya. - BERNAMA