Katanya, bukan mudah untuk bangkit selepas ketinggalan dua jaringan pada babak pertama, dan ia memerlukan iltizam dan semangat luar biasa setiap pemain.

"Secara keseluruhan, saya hargai pengorbanan dan kebangkitan pemain, selepas ketinggalan dua jaringan untuk menang perlawanan malam tadi.

"Semangat lawan mereka tinggi seperti sikap yang ditunjukkan Baddrol Bakhtiar, walaupun cedera dia tetap mahu meneruskan permainan bersama pasukan dan ia baik untuk moral pasukan," katanya selepas tamat perlawanan malam tadi.

Aidil berkata, kesilapan dan kealpaan yang sering dilakukan di babak pertama permainan menyebabkan pasukan lawan bijak mencuri peluang dan menjaringkan dua gol.

"Saya ambil tanggungjawab ini untuk memastikan kesilapan yang berlaku tidak akan berulang di masa depan, dan apa yang nak saya katakan kita akan teruskan fokus tingkatkan prestasi pada pertemuan dengan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super, Sabtu ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor United, Abdul Talib Sulaiman berkata, beliau berpuas hati dengan tentangan yang diberikan pasukannya hingga tidak memberi kemenangan mudah kepada Kedah.

"Kedah kita tahu pasukan yang kuat, namun saya pesan kepada pemain saya jika ke Stadium Darul Aman suasana lain, dan perlu fokus di dalam padang, jika itu boleh dibuat kita dapat beri tentangan dan boleh menang, namun kemenangan tidak berpihak pada kita malam ini," katanya. - BERNAMA