Pengendali berusia 42 tahun itu berkata, beliau sering mengingatkan anak-anak buahnya agar memberikan persembahan yang lebih baik pada setiap perlawanan.

“Mentaliti kami adalah menganggap setiap perlawanan itu sukar, tambahan pula pasukan-pasukan yang beraksi dalam liga tahun ini handal serta dibarisi pemain import yang berkualiti.

“Jadi, tidak kira di mana kita berada sekarang, kita tidak boleh terus membawa status itu setiap masa kerana saya sentiasa mencabar para pemain dan diri sendiri untuk bekerja keras bagi menghadapi pertemuan seterusnya,” katanya.

Pada aksi di Stadium Darul Aman, Kedah membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi kapten Harimau Malaya, Mohamad Zaquan Adha sebelum Anmar Fares Abdul Jabar menjadikan kedudukan 2-0, empat minit sebelum aksi separuh masa pertama tamat.

Bersambung babak kedua perlawanan, pemain kelahiran Singapura, Muhammad Shakir Hamzah memastikan Helang Merah selesa di depan dengan jaringan kedua peribadinya pada minit ke-53, sebelum Mohd. Fadzrul Danel Mohd. Nizam melengkapkan kemenangan bergaya 4-0 pada minit ke-74.

Mengulas pencapaian Mohd. Fadzrul Danel yang berjaya mencetak nama selaku penjaring pada perlawanan itu, Aidil Sharin berkata, beliau mahu lebih lagi daripada pemain berusia 21 tahun yang sedang meningkat naik itu.

“Pada sesi latihan nanti, saya akan beritahu dia untuk beri lebih lagi kerana kita tidak boleh terus berpuas hati walaupun dia berjaya menjaringkan gol keempat.

“Malah, apa yang boleh saya katakan kita memerlukan pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Renan Alves, Jonanthan Bauman dan Shakir yang membentuk pergerakan Fadzrul Danel sehingga membolehkan dia dapat beraksi dengan lebih selesa termasuk berani untuk mara ke depan,” katanya.

Sementara itu, Aidil Sharin tidak mahu memandang mudah aksi keempat Liga Super menentang Petaling Jaya City Rangers kerana menganggap pasukan itu mempunyai disiplin yang tinggi dan akan memberi cabaran kepada Kedah untuk terus mengutip mata. - UTUSAN ONLINE