KFA
 

Timbalan Presidennya, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, tindakan tersebut turut disusuli oleh Setiausaha Kehormat, Datuk Aminuddin Omar serta Bendahari, Datuk Yusof Ismail yang diterima KFA, hari ini.

"Kami menerima peletakan jawatan ketiga-tiga mereka dan mengucapkan terima kasih di atas khidmat bakti mereka selama ini.

"Serentak itu, kami juga telah bertemu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini bagi menyatakan hasrat supaya beliau kembali menerajui persatuan ini," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat bersama Exco KFA di Wisma Darul Aman, di sini hari ini. 

Sementara menanti keputusan daripada Mukhriz, beliau akan memangku tugas-tugas presiden sementara bagi jawatan Setiausaha Kehormat dan Bendahari akan dipikul oleh penolong masing-masing iaitu Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Syed Yussof Syed Othman. 

Mengulas mengenai pertemuan mereka bersama Mukhriz, Syed Unan berkata, Menteri Besar turut bertanyakan mengenai beberapa perkara antaranya kedudukan kewangan serta prestasi semasa pasukan. 

"Setakat ini masih belum ada kata putus daripadanya walaupun beliau tampak berminat. Dalam mesyuarat tadi, memang ada berbangkit mengenai manifesto Pakatan Harapan namun kami merasakan apa yang dinyatakan adalah mereka akan menilai pembabitan orang politik dan bukannya menolak terus. 

"Bagi kami adalah amat penting untuk Menteri Besar dilantik selaku Presiden. Jika beliau bersetuju, insya Allah kami akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) secepat mungkin bagi membolehkan beliau dilantik ke jawatan itu," katanya. 

Dalam pada itu beliau turut mengesahkan khabar menyatakan KFA sedang 'memancing' bekas pemain import Selangor, Paulo Rangel untuk bermain dengan Lang Merah bagi menghabiskan musim ini. 

"Segalanya berjalan lancar ketika ini dengan Paulo diharap mendapat pelepasan secepat mungkin dari kelabnya di Thailand bagi membolehkan beliau bermain ketika kita menentang Pahang di Stadium Darul Aman, 22 Mei depan," katanya.  - UTUSAN ONLINE