Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membenarkan Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai ‘Ah Chong’ itu dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 beserta tiga orang penjamin.

Sebelum ini, Ah Chong direman selama tujuh hari bermula 15 April lalu bagi membolehkannya disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009 kerana disyaki terlibat mengatur perlawanan melibatkan pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Ah Chong, 43, yang pernah bermain untuk pasukan Selangor dan Negeri Sembilan tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pada pukul 9.30 pagi dengan memakai seluar jeans dan baju-T berwarna putih serta tangan bergari sambil diiringi pegawai SPRM.

Beliau ditahan selepas hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM pada 14 April lalu selepas diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut ekoran penahanan tiga pemain kelab MISC-MIFA dan seorang bookie.

Sebelum ini, tiga pemain dan seorang bookie yang disyaki terlibat dengan kes tersebut turut dibebaskan oleh Mahkamah Majistret dengan jaminan SPRM. - UTUSAN ONLINE