Adly yang juga Ketua Menteri tidak menyangka jurang kekalahan agak besar ke atas pasukan dibimbing, Zainal Abidin Hassan itu.

Menurutnya, kekecewaan itu timbul apabila pasukan dibarisi beberapa pemain terkenal itu seolah-olah tidak mampu memberi saingan apatah lagi menambah mata seperti diharapkan.

“Kita akan tengok kenapa jadi begini (tewas 0-3) dan nak tahu apa agaknya isu paling utama yang mendorong kepada persembahan begitu kerana pada penilaian kita, Melaka United mampu memberi saingan.

“Walaupun kita tahu Terengganu FC adalah antara pesaing utama namun kita juga harus mengekalkan momentum persembahan yang agak setara seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Sehubungan itu, saya akan mendapatkan laporan prestasi daripada Zainal dan menilai semula apa yang berlaku supaya ia tidak berulang pada perlawanan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program 10,000 Langkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, di Padang Jambu, di sini hari ini.

Pada perlawanan tersebut, Terengganu mencipta kemenangan pertamanya di tempat sendiri dengan menewaskan skuad Sang Kancil 3-0.

Jelas Adly, perubahan dari segi teknikal yang mungkin ditetapkan pada saat akhir menjadi punca kekalahan pasukan yang gagal mengekalkan kedudukan empat teratas liga.

“Mungkin ada beberapa perubahan teknikal baharu yang dibuat dan menjerat kita, antaranya kita tidak menurunkan pemain import dan beberapa perubahan awal yang dilakukan pada separuh masa pertama juga dikatakan menjadi punca kekalahan.

“Apa pun saya mahu laporan lengkap daripada ketua jurulatih dan kita sudah pasti akan melakukan bedah siasat secara teliti terhadap prestasi buruk pemain kita malam tadi,” ujarnya.

Sementara itu, Zainal Abidin dalam satu kenyataan akan melakukan ‘bedah siasat’ bagi merungkai punca sebenar aksi terburuk pasukan itu setakat ini.

“Kita tidak teragak-agak untuk menghukum pemain yang gagal memperagakan aksi terbaik walaupun sudah diberi peluang beraksi,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE