Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, pemain itu tidak boleh diberi ruang kerana dia bijak menghukum sebarang kelalaian benteng pertahanan.

“Kita tidak boleh hilang fokus dan kena bertahan secara agresif kerana Adisak cukup berbahaya.

TAN CHENG HOE
TAN CHENG HOE 

Malah kalau diberi setengah peluang pun, dia boleh menyempurnakannya.

“Para pemain kena berhati-hati semasa membuat serangan dan ketika bertahan,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan pasukan kebangsaan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)di Nilai dekat sini hari ini.

Perlawanan separuh akhir pertama antara Malaysia dan Thailand akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, manakala perlawanan kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember. Satu lagi saingan separuh akhir menemukan Filipina menentang Vietnam.

Cheng Hoe mengakui, pasukan negara jiran itu mempunyai kekuatan di setiap bahagian dan pemain mereka memiliki kualiti berbeza kerana berpengalaman beraksi dalam saingan peringkat tinggi.

“Mereka mempunyai berpengalaman bermain dalam Liga Thailand dan juga pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2018. Walaupun kalah, kita lihat pemain mereka cukup bagus,” katanya.

Tidak menafikan Malaysia bakal turun sebagai underdog, beliau percaya Harimau Malaya mempunyai kekuatan tersendiri dan pemain perlu mengurangkan kesilapan dalam perlawanan itu nanti.

Mengenai rekod kurang memberangsangkan bertemu Thailand sebelum ini, ketua jurulatih itu meminta pemain tidak terlalu memikirkan perkara itu dan mereka mesti mempunyai keyakinan diri untuk menumbangkan lawan.

Cheng Hoe juga mengharapkan sokongan padu penyokong negara mampu menyuntik semangat kepada pemain seperti ketika menewaskan Myanmar 3-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Katanya, skuad negara mempunyai tempoh empat hari bagi membuat persiapan dan semua pemain bebas daripada kece­deraan dan penggantungan menjelang perlawanan penting itu.