Takiyuddin Hassan

Bagaimanapun, Takiyuddin yang merupakan Presiden Persa­tuan Bola Sepak Melayu Kelantan tidak berniat memperkecilkan kebolehan mana-mana calon sambil menegaskan itu adalah panda­ngan peribadinya sahaja.

Biarpun beranggapan Tunku Ismail adalah calon paling sesuai untuk menerajui FAM namun Takiyuddin menegaskan ini tidak bermakna beliau tidak boleh bekerjasama dengan Annuar sekiranya bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tersebut memena­ngi kerusi No. 1 badan induk itu.

“Saya boleh bekerja dengan sesiapa sahaja dan saya pernah be­kerja untuk dua bekas Presiden FAM.

“Saya setuju FAM memerlukan perubahan drastik untuk meningkatkan lagi taraf bola sepak di negara ini. Orang yang wajar me­mimpin FAM adalah individu yang ada wawasan jelas serta bersifat agresif dalam usaha untuk membangunkan bola sepak dan daripada rekod serta penca­paian, TMJ adalah calon yang paling sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya lagi, keadaan FAM itu sendiri memerlukan individu se­perti TMJ untuk memimpinnya.

“Kedudukan struktur FAM itu sendiri yang memerlukan orang yang agresif dan ada keberanian. Bukan mahu menafikan kehebatan orang lain tetapi dalam keadaan begini FAM memerlukan individu yang agresif.

“Dengan membuat kenyataan seperti ini bukanlah bermaksud saya mahu memancing undi daripada perwakilan. Semuanya saya serahkan kepada mereka,” katanya lagi.

Tambah Takiyuddin, berdasarkan keadaan semasa beliau sedar peminat bola sepak tempatan mahukan wajah baharu untuk memimpin FAM namun peranan pemimpin sedia ada tidak wajar dinafikan.

“Saya diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM dan telah melakukan beberapa perubahan untuk menjadikannya lebih sistematik. Saya telah membuat per­ubahan dengan mewujudkan sistem format aduan dan kami telah menyelesaikan kemelut tunggakan gaji pemain serta jurulatih,” katanya lagi.