Real dimalukan 1-4 di laman sendiri dan tersingkir menerusi agregat 3-5, menyebabkan mereka kempunan mara ke suku akhir buat kali pertama sejak 2010. Dalam tempoh seminggu, Los Blancos telah tersingkir daripada Copa del Rey, perebutan gelaran La Liga, dan terkini kejohanan Eropah.

Solari yang mempunyai kontrak sehingga 2021 selepas mengambil alih tugas daripada Julen

SANTIAGO SOLARI
SANTIAGO SOLARI 

Lopetegui, November lalu, mungkin akan dikekalkan, musim ini, meskipun dimalukan Ajax.

“Saya tidak hadir ke kelab ini dengan sifat mudah menyerah kalah. Jelas kami sudah memberikan segalanya, cuma kami gagal melepasi halangan,” kata Solari selepas perlawanan tamat.

Real yang merupakan juara bertahan, telah mendominasi gelaran Liga Juara-Juara selama tiga tahun berturut-turut, tetapi Ajax yang agak malang kerana tumpas 1-2 dalam timbal balik pertama di Amsterdam, sememangnya layak meraih kemenangan di Santiago Bernabeu.

Pertahanan Real, Dani Carvajal mengakui aksi musim ini telah berakhir buat mereka selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara.

“Saya tidak pernah berasakan kesakitan seperti ini dan sukar untuk saya jelaskan. Dalam satu minggu segalanya berakhir, malah, kami juga perlu akui lawan telah mempamerkan aksi lebih baik berbanding kami. Kami tidak boleh memberikan alasan, pasukan lawan berhak mara ke pusingan seterusnya,” kata Carvajal. – AGENSI