Kim Swee berasa jengkel apabila Tengku Hazman enggan membalas panggilan telefon dan mesej pesanan ringkas (SMS) yang dihantar beliau malah jurulatih berusia 48 tahun itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak profesional.

Beliau pada mulanya mahu memanggil tiga pemain bagaimanapun hanya dua dilepaskan iaitu K. Thivendran dari PJ City dan Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham dari Negeri Sembilan.

“Hubungan melalui telefon terhenti di mana tiada balasan SMS (mesej pesanan ringkas) sama ada mahu membenarkan pemain tersebut dilepaskan atau tidak. Bagi saya ini sikap yang tidak profesional. Jika tidak boleh, kita kena profesional, balas SMS atau panggilan telefon.

“Ini penting untuk pemain tersebut jika dia diberi peluang dan dapat bermain dengan baik, ini masa depan dia, bukan untuk kepentingan saya tetapi negara.

“Saya sudah melalui isu ini (pasukan tidak melepaskan pemain) banyak kali, namun apabila mereka tidak melepaskan pemain, pernahkah saya melenting? Pernahkah saya marah? Tetapi, jika tidak menjawab mesej, tidak melayan panggilan telefon, ini sikap tidak profesional.

“Saya bukan marah sebab tidak lepaskan pemain tetapi sikap. Sila bersikap profesional. Bagitahu saja ‘Saya minta maaf, saya tidak boleh lepaskan’,” katanya hari ini.

Keengganan pasukan melepaskan pemain menyertai skuad Piala AFF B-22 di Phnom Penh, Kemboja pada 17 hingga 26 Februari ini seperti menganggap ia kejohanan kelas kedua.

Ini kerana selepas kejohanan tersebut, skuad B-22 negara akan menghadapi kelayakan Piala AFC B-23 yang akan berlangsung pada Mac ini dalam usaha mereka untuk menempah tiket ke Sukan ­Olimpik 2020.