Pengendali The Red Warriors, Zahasmi Ismail yang berang dengan permainan skuadnya, menyifatkan T-Team berhak menang perlawanan tersebut kerana barisan pemainnya sendiri seolah-olah tidak ber­semangat terutama pada babak pertama sehingga tunduk 3-1.

Zahasmi berkata, T-Team berjaya memanfaatkan kelebihan itu dengan meledakan tiga gol pada babak pertama, yang disifatkannya tamparan hebat kepada The Red Warriors.

“Babak kedua ada sedikit perubahan apabila kami kembali bangkit dan memperbaiki corak permainan, akhirnya berjaya mendapatkan satu jaringan.

“Namun sudah terlewat untuk Kelantan, apa-apapun itulah bola sepak dan kesilapan dalam perlawanan ini perlu diperbaiki jika mahu melangkah lebih jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

T-Team bermula garang apabila mendahului pada minit ke-14 menerusi sentuhan penyerang muda Muhammad Zulhanizam Shafine yang mudah menolak masuk um­panan Mohd. Badrul Hisham Morris.

Zulhanizam mengukuhkan na­manya selaku penjaring untuk T-Team tujuh minit kemudian apabila memanfaatkan hantaran lintang Josip Milardovic sebelum Tomislav Busic terus menambah derita pelawat dengan gol ketiga pada minit ke-30.

Kelantan yang berusaha bangkit bagaimanapun hanya mampu membalas menerusi jaringan Gilmar Jose Da Silva Filho pada minit ke-87.

Zahasmi, yang merupakan bekas pemain Kelantan pada musim 2004, berkata pasukan tuan rumah berjaya menghidu kelemahan Kelantan dalam perlawanan itu yang memberi ruang kepada pemain mereka untuk bergerak.

Katanya, dia menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka namun tetap yakin dengan keupayaan barisan pemain yang mampu bangkit dalam perlawanan berikutnya.

“Keempat-empat pasukan masih berpeluang untuk mara ke suku akhir, tetapi in sya Allah kami jadikan ini sebagai satu cabaran.

“Saya yakin Kelantan akan tam­pil dengan permainan lebih kemas dalam perlawanan selepas ini,” katanya.