Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) Brunei, Kwon Oh-son percaya kehadiran mereka dalam Sukan SEA Ke-29 bukan sekadar pelengkap.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menegaskan, mereka membuat persiapan rapi kali ini dan semua pemain tidak sabar untuk memberi tentangan serius.

“Kami sudah membuat persiapan yang cukup baik dan tiada masalah di sini, cuaca lebih kurang sama.

“Pemain saya amat mahukan kemenangan, jadi kami akan cuba memberi aksi terbaik,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di sini, hari ini.

Brunei hanya sekali melepasi peringkat kumpulan pada Sukan SEA Singapura 1983, namun mereka dibelasah 5-0 oleh Malaysia ketika itu.

Mereka juga tewas 0-2 kepada skuad negara dua tahun lalu dan menamatkan kempen Kumpulan B di tangga tercorot tanpa sebarang kemenangan.

Bagaimanapun Oh-son berkata, pasukannya meraih pendedahan dalam kelayakan Kejuaraan B-23 AFC di Myanmar bulan lalu, yang mana mereka memberi saingan ketika kalah 0-2 kepada Australia, Myanmar (0-3), Singapura (1-4).

Oh-son bakal mempertaruhkan sentuhan anak saudara Sultan Brunei, Faiq Jefri Bolkiah yang memiliki pengalaman sebagai pemain sayap skuad remaja kelab Inggeris, Leicester City.

“Saya fikir kami ada peluang baik untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata. Saya pernah menentang Malaysia tahun lalu dan saya fikir kami boleh dapatkan satu mata,” kata Faiq, 19.