Sepanyol banyak terhutang budi kepada pencapaian yang dibawa oleh Vicente del Bosque dan mendiang Luis Aragones apabila menjadikan skuad La Roja sebuah pasukan paling berjaya selama lapan tahun ini.

Bagaimanapun, Sepanyol kini perlu kembali membuat percaturan baharu dengan mencari bakat baharu untuk memastikan zaman kegemilangan mereka tidak terhapus begitu sahaja kerana karier generasi pemain hebat mereka bakal berakhir tidak lama lagi.

Sungguhpun begitu, Sepanyol tidak kurang dengan pemain yang berkebolehan dalam persediaan menghadapi kejohanan pada masa hadapan, namun persoalan utamanya adalah siapa yang mampu mengulangi kejayaan yang dibawa oleh del Bosque dan Aragones?

 

Perlu pandai guna bakat muda

England mungkin mempunyai masalah dalaman dari segi teknikal, strategi permainan dan isu psikologi, namun perkara yang lebih membimbangkan adalah persepsi negatif yang terlalu hebat telah menenggelamkan pasukan itu.

Tekanan sebegitu kadang kala mampu menjadikan mereka lebih kreatif untuk menyelesaikan masalah tersebut, lebih-lebih lagi pasukan itu mempunyai ramai pemain muda (kerana tidak bermakna mereka sudah cukup matang untuk menjadi pemain hebat) yang mampu menjadi tulang belakang kepada England suatu hari nanti sekiranya mereka diberi ruang dan peluang untuk beraksi.

Setakat ini Persatuan Bola Sepak (FA) telah melakukan perkara yang betul kerana secara dasarnya, teknikal para pemain semakin bertambah baik dan sudah tiba masanya bakat-bakat muda itu diturunkan dalam saingan akan datang.

 

Pasukan lebih baik
 daripada individu

Wales dan Iceland adalah contoh terbaik untuk sekumpulan pemain bermain secara berpasukan apabila pencapaian mereka dalam Euro 2016 melangkaui jangkaan orang ramai mahupun pasukan itu sendiri.

Sasaran yang tidak terlalu tinggi juga secara tidak langsung membantu pasukan itu berjaya berbuat demikian kerana sebarang kejayaan melangkaui sasaran hanya diambil kira sebagai bonus.

Mereka juga memberikan kita semua satu pengajaran yang cukup bermakna yang boleh diguna pakai bukan sahaja dalam arena bola sepak, tetapi juga dalam kehidupan iaitu selagi kita bekerjasama, semakin tinggi pencapaian yang boleh tercipta.

 

Kadang kala nasib main Peranan

Nasib boleh memainkan peranan yang besar terhadap sesebuah pasukan seperti yang ditonjolkan oleh Portugal apabila mereka berjaya layak daripada peringkat kumpulan meskipun terpaksa berhempas pulas dan hanya mendapat tempat ketiga dalam saingan kumpulan mereka.

Tanpa sebarang kemenangan, Portugal sekali lagi bersusah payah untuk menundukkan Croatia di peringkat 16 pasukan terakhir dan hanya layak ke suku akhir setelah menang menerusi gol Ricardo Quaresma pada masa tambahan.

Kemenangan menerusi sepakan penalti penentuan ketika menentang Poland di peringkat suku akhir bermakna Portugal mampu pergi jauh dalam kejohanan tersebut meskipun tidak memenangi satupun perlawanan dalam tempoh 90 minit sebelum berjaya menumpaskan Wales 2-0 dalam aksi separuh akhir.

 

Ronaldo bukan lagi yang dahulu

Ketika menentang Austria, Cristiano Ronaldo cuba untuk bermain di posisi yang telah menaikkan namanya dalam arena bola sepak iaitu di sayap kiri, namun gagal menyerlah sehingga menyebabkan Portugal kembali menggunakan corak permainan 4-4-2 yang menyaksikan bintang Real Madrid itu kembali menampilkan aksi terbaik menentang Hungary.

Ronaldo tidak lagi mampu mempengaruhi keputusan perlawanan seperti yang dia lakukan pada suatu masa dahulu selain menjadi penyerang tradisional yang hanya menunggu peluang di hadapan pintu gol.

Meskipun Ronaldo dikatakan beraksi hambar dalam kejohanan tersebut, namun dia berjaya membuat jaringan, merancang gol dan juga muncul pada saat-saat penting perlawanan dan masih menjadi pemain penting untuk Portugal.

 

Pengurus yang baik

Sejak dahulu lagi, kita ada melihat laporan yang menyatakan pengurus pasukan kebangsaan tidak mempunyai masa yang cukup untuk melatih para pemain secara taktikal.

Bagaimanapun, Jerman membuktikan kepada semua bahawa mereka mampu untuk bermain dengan baik secara berpasukan walaupun dalam keadaan yang berbeza meskipun corak permainan sering bertukar mengikut keperluan menghadapi sesebuah perlawanan.

Jurulatih Itali, Antonio Conte juga menunjukkan kepada kita bahawa meskipun dalam satu pasukan itu tidak mempunyai seorang pun bintang ternama, namun dengan cara yang betul, sebuah pasukan itu boleh bermain dengan baik.

 

Format Euro 2016 berjaya

Meskipun format yang digunakan dalam kejohanan kali ini agak mengelirukan dan sering mendapat kritikan daripada orang ramai, namun memberi peluang kepada penyokong skuad tertentu meraikan kejayaan pasukan mereka.

Contohnya dapat dilihat kepada pasukan Ireland dan Ireland Utara yang mampu melayakkan diri ke peringkat 16 pasukan terakhir menerusi tempat ketiga di peringkat kumpulan kerana sebelum ini seringkali pasukan seperti mereka akan terkandas awal dalam kejohanan utama.

Bagaimanapun, format kali ini menyebabkan jurulatih sentiasa menggunakan corak permainan yang lebih selamat kerana bimbang penyingkiran awal akan menyebabkan mereka dikecam hebat oleh peminat.

 

Iceland bukti kepentingan sistem

Iceland hanya mempunyai populasi kira-kira 330,000 penduduk dan tidak memiliki kelab bola sepak profesional, tetapi terdapat 639 jurulatih dengan lesen UEFA B dan 196 jurulatih berlesen UEFA A.

Jurulatih terbabit bertanggungjawab untuk perkembangan 21,500 pemain yang berdaftar.

Dengan adanya sistem kejurulatihan yang baik, para pemain mampu beraksi mengikut potensi maksimum dan bermain dengan baik berdasarkan kemampuan masing-masing. – AGENSI