Itu bermakna, setiap pasukan dibenarkan memiliki lima pemain asing dengan kuota import 3+1 (Asia) +1 (ASEAN).

Bagaimanapun, pemain Asia Tenggara yang mahu dibawa masuk itu perlu memiliki sekurang-kurangnya 30 cap antarabangsa bersama skuad utama negara masing-masing, dan wajib mendapatkan surat pengesahan rasmi daripada persatuan bola sepak negara mereka.

“Jika pemain yang dikehendaki kurang daripada 30 cap, pasukan boleh memohon untuk pengecualian dan keputusan akhir adalah tertakluk kepada FMLLP dan keputusan adalah muktamad.

“Bagi saingan Liga Perdana pula, kuota pemain asing kekal iaitu 3+1 (Asia) menjadikan keseluruhan empat pemain asing sahaja.

“Kesemua lima pemain asing dibenarkan bermain untuk perlawanan Liga Super sahaja, manakala bagi Piala FA dan Piala Malaysia hanya empat dari lima pemain dibenarkan beraksi dengan tujuan memberi keadilan kepada pasukan dari Liga Perdana dan Liga FAM kerana masing-masing boleh bertemu dalam pertandingan ini.

“Peraturan baharu ini akan berkuatkuasa serta merta bermula 2018 hingga 2022. Peraturan ini akan dikaji semula keberkesanannya selepas tempoh tersebut,” kata FMLLP dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

FMLLP sebelum ini menetapkan peraturan pemain import berdasarkan kuota 3+1 (Asia), namun penambahan kuota bagi pemain rantau Asia Tenggara dibuat bagi meningkatkan nilai liga tempatan, selain menarik lebih ramai penonton serta membantu kewangan pasukan bertanding.

Sebagai contoh, Andik Vermansah sebelum ini pernah bermain untuk Selangor dan kehadirannya menarik ramai penyokong Indonesia mengikuti perkembangan Red Giants.

Sekiranya kelab-kelab Liga Super mengambil pemain dari Thailand, Filipina, Laos, Myanmar atau Singapura, ia sudah tentu akan menarik lebih ramai penonton dari negara berkenaan, sekali gus meningkatkan lagi nilai liga tempatan. - UTUSAN ONLINE