Enggan memberitahu nama pasukan terbabit, bekas pemain kebangsaan itu berkata pemain daripada empat pasukan tersebut sedang membuat rundingan bersama majikan masing-masing namun jika gagal mendapatkan persetujuan bersama maka PFAM akan membawa isu tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya tidak boleh memberitahu pasukan mana yang terlibat namun apa yang pasti tiga atau empat pasukan daripada Liga Perdana.

“PFAM sudah berhubung de­ngan pemain pasukan terbabit dan mereka sedang berbincang dengan kelab masing-masing. Kami mengikuti rapat perkembangan kes ini.

“Jika tiada kata putus maka pemain akan membuat laporan kepada PFAM untuk mengambil alih kes tersebut dan kami akan melaporkannya kepada FAM. Walau bagaimanapun PFAM telah menasihatkan pemain terbabit agar tidak mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan FAM menerima aduan kes 29 pemain Perlis dan enam pemain Terengganu City masih belum mendapat gaji yang berjumlah RM744,500.

Rezal, yang merupakan bekas pemain Negeri Sembilan, berkata PFAM sentiasa memberi soko­ngan kepada FAM dalam usaha mereka memastikan agar hak dan kebajikan pemain tidak diabaikan oleh majikan masing-masing.

“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh FAM dan MFL (Malaysia Football League) untuk menangani isu ini seperti menghukum dengan memotong mata, memperketatkan permohonan pelesenan kelab namun kes tunggakan gaji masih berlarutan hingga ke hari ini.

“Terpulang kepada FAM dan MFL untuk memperketatkan undang-undang dan PFAM sentiasa memberi sokongan agar pemain tidak dianiaya kerana kami kecewa isu tunggakan gaji tidak berkurangan.

“Contohnya Kuantan FA terpaksa menarik diri daripada persaingan liga dan apabila perkara itu berlaku akan menjejaskan kelancaran liga dan paling pen­ting memberi kesan langsung kepada pemain itu sendiri dan MFL,” katanya.

Lembaga Pengarah MFL telah menggugurkan penyertaan Kuantan FA dalam Liga Malaysia 2018 selepas kelab tersebut tidak hadir untuk perlawanan Liga Perdana menentang PDRM di Stadium Shah Alam pada 15 April.