Keputusan terbaru itu menyaksikan Bos Gaurus masih gagal mencari kemenangan pertama dalam lima perlawanan liga berturut-turut, sekali gus menghuni tangga kelapan.

“Apa yang hendak saya katakan, tiada siapa mahu melakukan kesilapan tetapi itulah yang kami lakukan, tiga silap dan ketiga-tiganya memberikan gol kepada lawan.

“Kita semua manusia biasa yang membuat silap. Inilah bola sepak, kami harus melihat ke depan dan yang penting kami berkongsi mata.

“Kami menjaringkan tiga gol, ia sudah bagus, malangnya kami melakukan terlaku banyak kesilapan dan ketiga-tiga gol lawan berpunca daripada silap kami sendiri.

“Apa pun, saya tetap memuji pemain yang telah memberikan 100 peratus dalam perlawanan ini,” kata Mehmet.

Perlawanan tersebut juga dicemari dengan dua layangan kad merah yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa menutup saingan dengan 10 pemain.

Jaringan pertama Kuala Lumpur berpunca daripada kesilapan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim yang gagal menangkap kemas sepakan bola mati Paulo Josue dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Indra Putra Mahayuddin.

Gol kedua The City Boys pula hadir menerusi sepakan penalti Guilherme de Paula pada minit ke-36 berpunca daripada kesilapan pertahanan Perak, Idris Ahmad menjatuhkan penyerang dari Brazil itu.

Memasuki minit ke-65, Kuala Lumpur berada di depan hasil sepakan bebas Josue yang gagal diselamatkan Hafizul.

Ketiga-tiga gol Perak diperoleh menerusi jaringan sendiri pertahanan Kuala Lumpur, Zaiful Abdul Hakim, sepakan penalti Leandro Dos Santos dan Nor Hakim Hassan. - UTUSAN ONLINE