Jurulatih skuad Citizens, Pep Guardiola meraikan detik bersejarah itu dengan menaiki bas dua tingkat tidak berbumbung bersama kakitangan dan anak-anak buahnya.

Hanya penjaring terbanyak, Sergio Aguero tidak dapat meraikan bersama susulan menjalani rawatan di negaranya, Argentina setelah mengalami kecederaan di lutut sebagai persediaan ke Piala Dunia, termasuk David Silva yang bersama anak kecilnya di Sepanyol.

Dalam pada itu, Guardiola berkata, buat masa ini mereka ingin meraikan kejayaan terlebih dahulu sebelum memandang ke hadapan sama untuk memperbaiki pencapaian musim depan.

“Ini adalah masanya untuk menikmati apa yang kami lakukan musim ini,” katanya.

City menjuarai gelaran itu dengan penuh bergaya, menjadi kelab Inggeris pertama mencatat 100 mata, merekodkan jaringan terbanyak iaitu 106 gol dan menewaskan pasukan setempatnya, Manchester United yang menduduki tangga kedua ketinggalan 19 mata di belakang mereka.

Sementara itu, pemain Belgium Kevin de Bruyne, tampil selaku pemain City paling cemerlang sepanjang kempen ini.

“Saya sangat terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong sambil mereka mengibarkan bendera. Saya dapat saksikan mereka menyertai kami dalam suasana meriah. Bagi saya ia sesuatu yang menakjubkan.

“Musim ini sungguh luar biasa dan menamatkannya semalam pada saat akhir untuk memastikan 100 mata milik kami. Ia sesuatu yang luar biasa.

“Apa saja yang anda menangi sudah tentu menjadi keistimewaan dalam hidup dan bagi saya inilah detik kemuncak setelah anda berhempas pulas demi mencapainya,” kata pemain berusia 26 tahun. - AFP