Biarpun juara Piala FA itu dilihat memiliki kelebihan selepas penjaga gol lawan, Muhamad Ilham Amirullah Razali dibuang padang pada minit ke-45 kerana mengasari Farhan Roslan, namun Terengganu sebaliknya menghukum Lang Merah.

Bersambung babak kedua perlawanan, penyerang import TFC, Tchetche Hermann Brice mengejutkan penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk bola hasil sepakan percuma kapten pasukan, Lee Andrew Tuck pada minit ke-66.

Ketika perlawanan berbaki lima minit, Tchetche sekali lagi menghukum kealpaan pertahanan Kedah apabila mudah melambung masuk bola ke gawang tuan rumah pada minit ke-85.

Jaringan itu nyata memadam semangat pemain Lang Merah di hadapan 9,386 penonton untuk mengikat kedudukan apabila gagal menembusi kubu pertahanan TFC dan ketangkasan penjaga gol gantian, Wan Muhammad Azraei Wan Teh.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dengan Lang Merah kini jatuh ke tangga kedua Kumpulan A di belakang TFC yang mengutip enam mata selepas dua perlawanan. -UTUSAN ONLINE