Ini rumusan yang dilontarkan pengurus basikal trek ke Sukan Asia 2018, Firdaus Arshad berdasarkan pemerhatiannya sepanjang temasya yang berlangsung di Jakarta, Indonesia itu baru-baru ini.

Katanya, potensi yang ditunjukkan gandingan Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd. Zonis cukup besar dan wajar mendapat perhatian secukup­nya.

“Walaupun hanya mendapat pingat perak, saya menganggap pencapaian mereka adalah yang terbaik berbanding acara-acara lain kerana berjaya beraksi di luar jangkaan selain memecahkan rekod kebangsaan dan Sukan Asia.

“Jika gandingan ini dapat te­rus digilap, saya percaya mereka mampu menyumbang pingat emas Olimpik dua tahun lagi selain harapan yang diletakkan dalam dua acara lagi iaitu keirin dan 200 meter pecut.

“Apa yang mereka perlukan adalah penyertaan dan pendedahan di luar negara yang lebih kerap supaya potensi itu dapat dibangunkan menjadi lebih baik. Saya berpandangan pecut berpasukan berada di landasan terbaik untuk melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pencapaian keseluruhan skuad basikal trek negara yang berjaya membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa daripada Sukan Asia 2018.

Emas disumbang Azizulhasni dalam acara pecut, perak menerusi trio pecut berpasukan lelaki dan gangsa sekali lagi menerusi Azizulhasni dalam acara kegemarannya, keirin.

Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus menyokong pelumba elit ini dalam mencari penaja atau syarikat korporat yang boleh membantu program pembangunan mereka selepas ini.

“Azizulhasni memang kita ketahui berada satu tahap di atas Shah Firdaus dan Fadhil. Hanya pengalaman memisahkan antara mereka. Bagaimanapun jurang keupayaan mereka sebenarnya sudah tidak begitu jauh.

“Apa yang perlu dilakukan adalah memantapkan persefahaman antara mereka dengan kerap menghantar bertanding di luar negara supaya kesilapan teknikal kecil seperti yang berlaku di Sukan Asia lalu dapat diperbaiki,” tegasnya lagi.