Demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang kemudiannya mengumumkan pemberian insentif berjumlah RM200,000 kepada Azizulhasni Awang kerana melakar sejarah buat negeri dan negara.

Katanya, insentif itu sebagai menghargai kejayaan luar biasa Azizulhasni yang digelar The Pocket Rocketman apabila muncul sebagai juara keirin Kejohanan Dunia Trek di Hong Kong minggu lalu.

Ahmad Razif memberitahu, daripada jumlah itu RM100,000 adalah pemberian wang tunai manakala selebihnya dalam bentuk skim membiayai latihan Azizulhasni termasuk di luar negara.

“Hari ini kita sekali lagi meraikan cerita kejayaan yang dicapai anak Terengganu. Tahniah Azizul, kejayaan anda menjadi kebanggaan kami seluruh rakyat,” katanya dalam majlis Sambutan Wira Berbasikal Negara di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; barisan Exco Kerajaan negeri serta ibu dan bapa Azizulhasni, Selamiah Yong dan Awang @ Muda Embong.

Terdahulu kepulangan Azizilhasni disambut oleh kira-kira 2,000 orang terutama peminat sukan berbasikal tempatan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini pagi ini.

Dia kemudiannya diarak menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan diringi lebih 200 pengayuh basikal termasuk dari pasukan lumba basikal profesional Terengganu, TSG ke pusat bandar raya untuk menghadiri majlis kemuncak sambutan.

Ahmad Razif memberitahu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberi insentif RM2,000 sebulan kepada setiap anak negeri yang terpilih menyertai Sukan Olimpik 2020 untuk membiayai keperluan dan latihan mereka hingga temasya sukan berprestij itu berakhir.

Sementara itu, Azizulhasni mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Razif dan kerajaan negeri di atas pengiktirafan dan penghargaan yang diterima.

Dia berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada anak muda lain untuk tidak berputus asa dan bekerja keras mengejar cita-cita dan mencipta kejayaan untuk negeri dan negara.