Yang dipertua Majlis Daerah Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, biarpun lasak namun laluan itu tidak berbahaya dan hanya cukup untuk menguji peserta selain dapat memupuk semangat perpaduan serta mengamalkan gaya hidup sihat.

“Cabaran sejauh 75 kilometer (KM) menyusuri sungai, perkampungan dan jalan raya itu merangkumi acara larian, berkayak dan mengayuh basikal.

“Sebanyak tiga disiplin dipertandingkan iaitu berkayak sejauh 5 KM berbasikal 50 KM dan larian 20 KM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, diharapkan acara yang diketengahkan dalam pertandingan TEC tersebut turut mempromosikan kawasan menarik di sekitar Tampin.

Lebih 500 peserta menyertai Tampin Eco Challenge 2019 yang terbahagi kepada kategori terbuka dan agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi.

Pasukan Ok Go dari Kuala Lumpur dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) B, Tanjung Malim, Perak muncul johan kategori terbuka dan agensi kerajaan. Kedua-dua pasukan tersebut masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000.-UTUSAN ONLINE