Pasukan negara yang dibarisi Azizulhasni Awang, Muhd. Shah Firdaus Sahrom dan Mohd. Fadhil Zonis meraih pingat perak dengan catatan masa 44.598 saat, tewas kepada China dalam perlumbaan akhir di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Rawamangun.

Jepun pula meraih pingat gangsa.

Skuad negara memasuki perlumbaan akhir dengan semangat tinggi setelah terdahulu memperbaharui rekod baharu temasya dengan catatan 43.934s dalam aksi kelayakan, memadam catatan lama 44.406s dilakukan China sewaktu Sukan Asia 2010.

Walau bagaimanapun catatan itu hanya bertahan selama tiga jam sahaja sebelum diperbaharui Jepun dengan masa 43.899s ketika memenangi gangsa.

Catatan 43.934s itu juga bermakna trio negara turut memperbaharui rekod kebangsaan 44.725s yang dilakukan oleh Azizulhasni, Josiah Ng dan Rizal Tisin dalam Sukan Olimpik 2008 di Beijing.

Azizulhasni berkata, dia amat berpuas hati dengan pencapaian hari ini terutama apabila dapat melebur rekod kebangsaan.

“Kami bermula dengan positif malah semua pelumba muda dalam pasukan telah mempamerkan persembahan terbaik mereka.

“Sewaktu saingan akhir kami sedikit kecewa kerana fokus pasukan terjejas akibat daripada false start pasukan lawan namun kami tetap gembira dengan pingat ini,” katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih basikal trek negara John Beasley berkata, kejayaan itu sesuatu yang membanggakan buat skuad negara yang telah bekerja keras mempersiapkan diri.

“Ini adalah kejayaan yang membanggakan buat kami walaupun meraih pingat perak. Pelumba kita juga telah memberikan saingan sengit dalam saingan akhir hari ini,” kata jurulatih dari Australia itu.

Pingat itu juga adalah yang pertama dimenangi Malaysia sejak acara pecut berpasukan mula dipertandingkan dalam Sukan Asia pada 2002 di Busan, Korea Selatan.

Pencapaian terbaik pasukan negara dalam Sukan Asia sebelum ini ialah ketika temasya 2014 di Incheon apabila menduduki tempat kelima. – UTUSAN