Pada perlumbaan peringkat keenam itu, Metkel yang berpengalaman luas dalam saingan berbentuk jelajah mengambil masa selama satu jam 22 minit 52 saat untuk menamatkan perlumbaan sejauh 36 kilometer dan pendakian setinggi 2,000 meter di belakang pelumba pasukan BridgeLane, Chris Harper dari Australia.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, selain Metkel lima pelumba TSG yang turut membawa cabaran pada perlumbaan itu ialah Muhammad Afiq Huznie Othman, Goh Choon Huat, Youcef Reguigui, Drew Morey dan Artem Ovechkin yang pernah memenangi jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018.

"Selepas perlumbaan peringkat keenam, Metkel melonjak ke kedudukan ketiga kategori individu keseluruhan. Kita harap dia dapat mengekalkan momentum seperti hari ini bagi memperbaiki kedudukan dalam baki dua perlumbaan yang akan berlangsung esok dan lusa (Ahad)," katanya ketika dihubungi Bernama. - BERNAMA