AZIZULHASNI AWANG kini ketinggalan di tempat ke-12 untuk acara keirin dan ke-24 bagi pecut dalam ranking dunia.

Itu antara misi menyelamat yang telah dicadangkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ketika mengadakan pertemuan dengan penaja utama pelumba basikal trek ber­usia 30 tahun tersebut iaitu CIMB di sini hari ini.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, daripada empat kejohanan basikal trek yang dicadang akan dianjurkan di Malaysia itu, tiga daripadanya adalah Piala Asia Trek Malaysia yang bertaraf antarabangsa selain satu kejohanan kebangsaan.

“Saya berte­rus terang kepada CIMB, Azizulhasni perlu dibantu mulai sekarang kerana jika tidak, sia-sia sahaja penajaan jutaan ring­git mereka yang matlamat asal ialah ma­­hu melihat keja­yaan pelumba itu di pentas Olimpik.

“Saya katakan, ranking Azizulhasni sekarang agak rendah dan dia hanya ada tempoh hingga Februari 2020 untuk memungut sebe­rapa banyak mata yang boleh untuk berada dalam kelompok lapan terbaik dunia yang membolehkan dia beraksi dalam Sukan Olim­pik.

“Malah saya jelaskan juga, CIMB kena bantu PKBM menaja dan menganjurkan kejohanan di Malaysia supaya bekas juara dunia dan bekas pelumba keirin No. 1 dunia itu tidak perlu pergi jauh untuk mencari mata yang diperlukan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perbincangan dengan tiga wakil CIMB diketuai Pe­ngarah Pengurusan Pemasaran, Jenama dan Penajaan Kumpulan CIMB, Davin Chew Shao Wang.

Sebagai rekod, kedudukan semasa Azizulhasni ketika ini dalam acara pecut adalah di tangga ke-24 ran­king dunia manakala dalam acara keirin dia berada di tempat ke-12 dengan jurang mata agak besar di belakang pelumba yang mengisi kelompok lapan teratas.

Sehubungan itu, kata Abu Samah, sekiranya CIMB bersetuju membantu, beliau akan me­ngadakan perbincangan dengan ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley untuk mencari tarikh yang sesuai tahun depan untuk menganjurkan empat kejohanan itu di Malaysia.

“PKBM akan serahkan kertas cadangan tentang kejohanan itu secepat yang boleh kepada pihak CIMB untuk dipertimbangkan kerana jika mereka setuju menaja, ia perlu didaftarkan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sebelum hujung tahun ini,” tegasnya.

Selain empat kejohanan dalam Malaysia tahun depan yang dicadangkan PKBM itu bertujuan untuk memudahkan memungut mata, Azizulhasni juga boleh meraih mata yang banyak di Sukan Asia 2018 yang dijadual berlangsung di Jakarta, Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Di samping itu antara Ogos 2018 hingga Februari 2020, Azizulhasni juga boleh menyertai Piala Asia Trek di Thailand, India, China dan Jepun serta satu kejohanan dunia dan lapan siri perlumbaan Piala Dunia Trek yang diadakan di seluruh dunia mulai November ini hingga pertengahan tahun depan.