Dengan tinggal dua bulan lagi, sebelum perlumbaan berstatus Hors 2.2 itu dilangsungkan iaitu dari 24 hingga 31 Mac ini, pemilihan Human Voyage telah menimbulkan persoalan besar sama ada beliau mampu mengendalikan pertandingan itu dengan lebih baik ataupun tidak.

Kemampuan Human Voyage sebagai penganjur sebelum ini dipertikai selepas didakwa gagal memenuhi kontrak selama dua tahun dengan KBS kerana mereka sepatutnya mengendalikan kejohanan itu pada 2015 dan 2016, tetapi hanya mampu me­nganjurkan untuk tempoh setahun, manakala pada 2016, mereka menarik diri atas alasan tidak mendapat bajet yang cukup.

Selain itu, pembayaran lewat wang hadiah kemenangan kepada sebuah pasukan ternama turut didakwa menjadi isu ketika itu, selain seorang mekanik pa­sukan luar yang terbabit dalam kemalangan dikatakan tidak diberi layanan sewajarnya.

Bagaimanapun, kali ini Human Voyage mengatasi empat lagi kontraktor lain termasuk pengendali 2016, 2017 dan 2018 iaitu Ciclista Sport Sdn Bhd dan Motoshoot Media Sdn Bhd dalam satu persaingan yang dianggap sengit untuk merebut tender tersebut yang bukan sahaja diberi hak pengendalian bagi tahun ini tetapi sehingga 2021.

Berita itu diumumkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, hari ini, selepas mendapat arahan KBS yang enggan me­ngumumkannya sendiri.

“Saya telah menerima panggilan daripada KBS. Saya ingin maklumkan bahawa kerajaan dan KBS memohon agar PKBM membuat pengumuman (tentang pelantikan) bagi pihak mereka. Saya ingin maklumkan Jawatankuasa Tender telah memilih Human Voyage,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan PKBM, hari ini.

Abu Samah menjelaskan bahawa pemilihan dibuat selepas mengambil kira pengalaman syarikat Human Voyage pernah menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Langkawi International Mountain Bike Challenge selama tiga tahun bermula 2012.

“Syarikat ini juga telah me­nganjurkan LTdL 2015. Pengalaman ini juga meliputi aspek teknikal berbasikal. Saya dimaklumkan oleh Jawatankuasa Tender KBS bahawa mereka turut mengambil kira aspek kewangan syarikat.

“Dalam hal ini, syarikat itu didapati mempunyai kewa­ngan yang mantap dan menjanjikan penajaan daripada pihak swasta,” katanya sambil berjanji PKBM akan membantu dari segi teknikal.