Dalam senarai terbaharu pasukan bertanding yang dikeluarkan pengurus acara LTdL 2019, Human Voyage Sdn Bhd, hari ini, tiada penyertaan pasukan Pro Tour bagi kejohanan 2019 dan ia terjadi buat kali pertama sejak 2010.

Empat pasukan profesional benua telahpun mengesahkan penyertaan mereka iaitu Bar­di­a­ni CSF, Androni Giocattoli-Sidermec, Neri Sottoli Selle Italia KTM (ketiga-tiga dari Itali) dan Gazprom Rusvelo (Rusia).

Sementara itu, 16 lagi penyer­taan terdiri daripada pasukan berstatus benua iaitu Vino-Astana Motors (Kazakhstan), Michelton Bike Exchange (China), Terengganu Cycling Team (TSG Malaysia), Sapura Cycling Team (Malaysia), Custom Cycling (Indonesia), KSPO Bianchi Asia (Korea Selatan), Giant (China), Floyd (Kanada) dan Sunshine Coast (Australia).

Turut mengesahkan penyertaan ialah pasukan St. George (Australia), Interpro (Jepun), Ukyo (Jepun), Oliver’s Real Food Racing (Australia), Pro Touch (Afrika Selatan), Brunei Continental dan Shenzen Xidesheng (China), manakala, dua lagi pa­sukan terdiri daripada skuad kebangsaan Malaysia serta Jepun.

Untuk rekod, Pro Tour yang mempunyai 18 pasukan sahaja di seluruh dunia merupakan pasukan berbasikal lebuh raya kelas pertama dalam senarai yang diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) serta mempunyai ramai pengikut dan penyokong. Ini diikuti kelompok kelas kedua yang dipanggil pasukan Pro Benua yang mempunyai 26 pasukan, kemudian pasukan benua biasa.

Walaupun, tanpa kelibat pasukan handalan dunia, kehadiran pasukan Pro Benua dan Benua sudah memadai untuk memeriahkan LTdL 2019, sekalipun, sebelum ini, Human Voyage pernah berjanji untuk membawa sekurang-kurangnya satu pasukan Pro Tour bagi edisi kali ini.

Berdasarkan rekod sebelum ini, 2014 merupakan tahun paling gemilang dalam penganjuran LTdL apabila enam pasukan Pro Tour bertan­ding iaitu Belkin, Astana, Orica GreenEdge, Katusha, Saxo Tinkoff dan Europcar.

Jumlah itu menurun pada 2015 kepada empat pasukan Pro Tour, sebelum hanya tinggal tiga pada 2016. Untuk dua tahun terakhir, hanya satu pasukan Pro Tour yang bertanding.