Ketika ini rekod kebangsaan acara itu ialah 44.725 saat dilakukan trio Azizulhasni, Josiah Ng dan Rizal Tisin sewaktu Sukan Olimpik 2008 di Beijing.

Dalam acara tumpuan itu, Azizulhasni akan memainkan peranan sebagai pelumba di bahagian hadapan.

Muhd. Shah Firdaus pula bertindak sebagai kedua dan watak penting milik Mohd. Fadhil selaku pelumba ketiga.

Kata Azizulhasni, keyakinannya terhadap pasukan pecut ketika ini amat tinggi kerana masing-masing mempunyai catatan bawah 10 saat.

“Kami bertiga telah membuktikan keupayaan untuk memecut di bawah 10s ketika menyertai kejohanan di Taiyuan, China pada bulan lepas.

“Kini diharap gandingan kami bertiga mampu memecut lebih pantas dalam acara pecut berpasukan untuk memecahkan rekod kebangsaan.

“Sekiranya kami dapat melakukannya maka peluang meraih podium pasti terbuka luas,” kata Azizulhasni, yang turut menjadi sandaran pingat acara individu.

Sukan Asia 2014 di Incheon menyaksikan skuad berbasikal trek negara meraih pingat perak menerusi Fatehah Mustapa dalam keirin wanita, manakala Josiah menghadiahkan gangsa acara keirin lelaki.

Azizulhasni pula gagal meraih sebarang pingat dalam kempen Sukan Asia empat tahun lalu kerana keputusan teknikal yang tidak memihak kepadanya.