Skuad berbasikal trek negara menamatkan kempen Sukan Asia 2018 dengan satu pingat emas, satu pingat perak dan satu gangsa. Azizulhasni menyumbang pingat emas menerusi acara pecut individu dan perak bersama skuad pecut berpasukan selain gangsa dalam acara kegemarannya iaitu keirin.

Beasley berkata, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki oleh skuad berbasikal trek negara sekiranya berhasrat untuk meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik 2020 di Tokyo nanti.

“Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan pencapaian pasukan berbasikal trek dalam temasya ini tetapi saya mengakui sedikit terkilan kerana gagal meraih pingat emas acara keirin.

“Walau bagaimanapun, kami telah berjaya mencipta kejutan menerusi acara pecut berpasukan dan individu yang saya anggap sebagai satu petanda positif dalam skuad kami.

“Ini kerana sejak saya membimbing pasukan ini pada 2006 kami tidak pernah meraih sebarang pingat menerusi acara pecut dan pencapaian ini boleh memberi motivasi tambahan untuk mereka fokus dalam semua acara,” kata jurulatih dari Australia itu.

Tambahnya, antara pelumba muda yang dilihat mampu mengikut jejak Azizulhasni ialah seperti Muhd. Shah Firdaus Sahrom dan Muhd. Fadhil Mohd. Zonis.

“Saya berbangga dengan semua pelumba kami selain Muhd. Shah Firdaus yang saya anggap berkemampuan untuk meraih pingat perak acara pecut tetapi nasib tidak menyebelahinya dan saya harap ini dapat memberi pengalaman berguna kepadanya,” kata Beasley. – UTUSAN

Saya membimbing pasukan ini pada 2006 kami tidak pernah meraih sebarang pingat
menerusi acara
pecut.