Ini berikutan pada tanggal 29 Julai itu nanti, pemeriksaan kali ketiga akan dilakukan UCI untuk memastikan 17 perkara yang diarah diperbaiki dan dipenuhi berjaya dilaksanakan kontraktor dan pembina trek dari Belanda yang dilantik atau pun tidak.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab ketika mengesahkan pemeriksaan itu berkata, penyelaras teknikal UCI, Gilles Peruzzi sendiri akan hadir sekali lagi untuk membuat penilaian muktamad mengenainya.

“Kita akan tahu nanti apa yang dibimbangi selama hampir setahun ini dapat diselesaikan atau pun tidak. Yang lebih penting daripada itu ialah sama ada velodrom yang dibina pada 1984 itu akan wujud lagi selepas ini atau pun tidak.

“Malah apa yang perlu ditentukan untuk tempoh terdekat ini ialah sama ada Velodrom Rakyat tersebut boleh menjadi venue untuk acara basikal trek Sukan Malaysia (Sukma) 2018 pada September ini atau pun tidak atau boleh menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa untuk tempoh jangka panjang dan akan datang.

“Kalau tidak berjaya meyakinkan UCI, sia-sia sahaja kerja baik pulih yang ditanggung Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini,” katanya ketika diminta mengulas kedudukan terkini velodrom yang menimbulkan kontroversi itu berikutan menelan belanja baik pulih sebanyak RM11 juta tetapi masih tidak boleh digunakan dan tidak diiktiraf UCI.

Pada November tahun lalu, satu sumber kerajaan negeri Perak yang dipetik berkata, UCI mengarahkan Velodrom Rakyat yang baharu selesai dibaik pulih di Ipoh dirobohkan kerana gagal mengikut spesifikasi pembinaan yang ditetapkan badan induk dunia itu.

Arahan tersebut dikeluarkan ketika mesyuarat Ahli Lembaga Pengurusan Eksekutif UCI di Beijing, China beberapa hari sebelum itu selepas mendapati kontraktor pembinaan yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja baik pulih masih gagal mematuhi status homologation.

Homologation adalah proses mengesahkan semua spesifikasi yang dibina di Velodrom Rakyat agar menepati piawaian UCI.

Kata sumber itu lagi, UCI membuat keputusan itu selepas pegawainya dua kali datang pada tahun 2017 melakukan pemeriksaan ke atas velodrom pertama negara itu namun masalah sama kekal gagal diperbaiki oleh kontraktor berkenaan.

“Ini penting kerana status homologation tersebut adalah lesen utama kepada Velodrom Rakyat untuk menjadi gelanggang sebarang kejohanan kebangsaan dan antarabangsa, selain pengesahan jika ada rekod baharu dicipta akan diiktiraf oleh UCI,” kata sumber itu.

Kerja membaik pulih Velodrom Rakyat mendapat dana berjumlah RM11 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan antara tujuannya adalah mengatasi masalah kerosakan pada struktur terutama trek kayu yang dibina pada 1984.

Velodrom Rakyat adalah velodrom pertama di negara ini yang dibina pada 1984 hasil sumbangan orang ramai.

Gelanggang itu pernah menganjurkan beberapa kejohanan utama dunia seperti Piala Trek Dunia 2000, Kejohanan Berbasikal Dunia B 1997 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia 1991 (ACC 1991).