Harrif atau lebih mesra disapa Mamat, membuktikan kejaguhannya apabila mengungguli saingan peringkat kedua dari Senawang ke Dataran Pahlawan, Bandaraya Melaka sejauh 200.6 kilometer dengan catatan masa 4 jam 53 minit 20 saat.

Jelas Harrif yang tampil buat kali ke-10 pada LTdL, menggunakan semua pengalaman yang ada terutamanya ketika menduduki tempat kedua dan ketiga pada edisi-edisi sebelumnya.

“Penantian untuk saya dan rakyat Malaysia. Alhamdulilah,” tulisnya dalam kapsyen sebelum diakhiri dengan tanda pagar #anokganu #navypeople serta @tsg.terengganucyclingteam.

Pelumba berusia 30 tahun itu menghadiahkan kemenangan tersebut kepada isteri tercinta, Nursyahira Nordin, 27, selain menganggap kejayaan tersebut terlalu istimewa buat dia dan isteri kerana tiga faktor.

“Pertama, ia kejayaan yang istimewa, saya hadiahkan kepada isteri, Nursyahira kerana tiga bulan lalu dia hamil anak sulung selepas lima tahun kami berkahwin. Justeru, saya mahu menghadiahkan sesuatu kepadanya. Kedua, saya puas hati kerana dapat menewaskan pelumba terkenal dan berpengalaman, Andrea Guardini buat pertama kali selepas beberapa kali kecewa.

“Saya bangga kerana berjaya muncul pelumba kedua Malaysia pernah menjuarai peringkat perlumbaan selepas Anuar Manan melakukannya pada 2010,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.