Demikian reaksi pakar pecut negara Hariff Saleh setelah mendapat tahu JM 2018 yang sepatutnya berlangsung pada Oktober ini terpaksa dibatalkan susulan kesukaran untuk mendapatkan penaja baharu.

Jelas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu, yang sudah menyertai JM sejak 2007, perlumbaan tersebut disifatkan sebagai pentas lahir jaguh masa depan.

“Selain daripada mencungkil bakat baharu, JM juga adalah medan pengukur kepada tahap keupayaan kami sebelum mengharungi perlumbaan yang lebih besar.

“Banyak kenangan saya dengan JM. Karier saya dibina menerusi perlumbaan seperti ini. Dengan JM ini jugalah Malaysia dapat me­lahirkan pelumba bertaraf antarabangsa seperti Anuar Manan dan Adiq Husainie Othman.

“Sayanglah kalau dibatalkan, tapi nak buat macam mana. Cuma agak sedihlah sebab JM banyak memberi manfaat kepada pelumba,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

JM 2018 terpaksa dibatalkan setelah Titan Empire Event Management (TEEM) selaku pe­nganjur bagi edisi ke-54 itu menarik diri pada saat-saat akhir, sekali gus sukar untuk mencari pengganti.

Dalam 10 edisi terakhir, Malaysia pernah melahirkan dua jaguh JM menerusi Suhardi Hassan pada 2004 dan Loh Sea Keong (2013) setelah memenangi jersi kuning selaku juara keseluruhan.

Pada tempoh berkenaan juga, empat pelumba negara meriah gelaran Raja Pecut iaitu Hariff pada 2011, 2013, 2014, manakala Anuar (2007, 2008, 2009); di­ikuti Adiq Husainie (2012) serta Nur Amirul Fakhruddin Marzuki (2017).

Selain itu, tiga pelumba negara Adiq Husainie, Nur Amirul dan Zamri Saleh pernah memegang gelaran Raja Bukit masing-ma­sing pada 2011, 2013 serta 2015.