Ahli Lembaga Pengurusan ­Eksekutif UCI, Datuk Amarjit Singh menjelaskan, kontraktor penganjuran acara yang dilantik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu perlu bersedia menyediakan wang yang besar bagi melunaskannya sama ada secara sekali gus atau berperingkat.

“Bagaimanapun di sini saya tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar denda kerana ia akan ditetapkan UCI mengikut peraturan mereka termasuk melibatkan bayaran-bayaran lain seperti caj memproses permohonan dan sebagainya.

“Jadi Human Voyage kena tunggu invois yang akan dikeluarkan UCI sebaik sahaja permohonan menukar tarikh dari 24 hingga 31 Mac kepada 6 hingga 13 April diluluskan nanti,” katanya yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Sehingga ini tambahnya, PKBM yang menguruskan permohonan pertukaran tarikh itu atas permintaan Kabinet telah pun menghantar surat tersebut kepada UCI hari ini menerusi e-mel.

“Memandangkan esok dan Ahad adalah cuti hujung minggu di Eropah, saya menjangkakan permohonan PKBM itu hanya akan mula diproses pada Isnin. Jadi bukan dua hari nampaknya boleh diselesaikan seperti yang saya cakap sebelum ini.

“Kalau kita e-mel pada Isnin mungkin kita boleh dapat jawapan UCI dengan cepat. Jadi kita kena tunggu minggu depan untuk mengetahui keputusan tentang permohonan menukar tarikh penganjuran LTdL 2019,” tegasnya.

Mengenai kemungkinan permohonan itu tidak diluluskan UCI, Amarjit melahirkan keyakinannya bahawa itu tidak akan berlaku ke­cuali Human Voyage enggan membayar denda yang ditetapkan.

LTdL 2019 terpaksa ditunda lewat seminggu daripada tarikh asal yang bertembung dengan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 30 Mac.