Sambil memuji kelainan yang ditawarkan seperti cuaca panas memeritkan serta pendakian Genting Highlands yang mempunyai keunikan tersendiri, rata-rata pelumba mengakui ia adalah perlumbaan yang wajib disertai setiap tahun.

Pelumba Bardiani CSF, Andrea Guardini berkata, tidak cukup hanya perlu cergas untuk datang ke sini, pelumba juga perlu berdepan situasi tidak menentu ketika berlumba.

“Saya datang dengan harapan untuk menaikkan nama semula sebagai pelumba disegani.

“Malangnya, nasib saya tidak begitu baik kerana saingan LTdL sukar dijangka.

“Itu keunikan­nya yang menyebabkan saya suka berlumba di sini,” katanya yang digelar Mr. Langkawi kerana pernah memena­ngi 24 peringkat LTdL.

Bagi juara LTdL 2019, Benjamin ­Dyball dari pasukan Sapura, perlumbaan ini menawarkan pe­ngalaman baharu.

“LTdL 2019 memberi peluang kepada saya merasai nikmat sebagai pemegang jersi kuning yang tidak pernah saya rasai.

“Ketiadaan pelumba Pro Tour memudahkan lagi peluang saya dan rakan sepasukan untuk mengawal perlumbaan,” ujarnya.

Pendapat sama turut dilontar pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Saleh.

“Kalau kebiasaannya, Pro Tour mengawal perlumbaan, kali ini kami satu pasukan termasuk Sapura yang memikirkannya

“Ini pengalaman yang istimewa buat kami kali ini,” katanya yang menduduki tangga ketiga Raja Pecut.

Raja Pecut LTdL 2019, Travis McCabe pula terpikat dengan laluan Genting Highlands yang mencabar.