Beliau yang baru pulang dari ibu pejabat UCI di Aigle, Switzerland hari ini berkata, kejayaan tersebut menghidupkan semula survival velodrom yang dibina pada 1984 itu untuk menganjurkan kembali kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

Status homologation menjadi satu masalah besar untuk diperoleh Velodrom Rakyat sebelum ini selepas kerja-kerja baik pulih yang dilakukan kontraktor dan pembina trek hasil dana RM11 juta yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak memenuhi piawaian atau spesifikasi yang ditetapkan UCI.

Keputusan terbaharu UCI ini dibuat adalah susulan daripada pemeriksaan yang dilakukan Ke­tua Penyelaras Trek UCI, Gilles Peruzzi di Ipoh pada Ahad lalu.

“Dengan adanya sijil homologation ini, fokus segera kita ialah untuk menyenaraikan semula acara basikal trek dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang dijadual berlangsung pada bulan September ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sebelum ini kerajaan negeri Perak di bawah pentadbiran Pakatan Harapan selaku penganjur Sukma 2018 telah mengambil keputusan menggugurkan acara lumba basikal trek atas alasan Velodrom Rakyat tidak bersedia menjadi venue selain belum memperoleh sijil kelulusan daripada UCI.

Sehubungan itu, tambah Amarjit, beliau akan menghantar salinan Sijil Homologation tersebut kepada Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How untuk tindakan segera bagi membolehkan acara lumba basikal trek Sukma dapat disenaraikan semula.

“Memandangkan Yang Berhormat Howard Lee memberi tempoh untuk menyelesaikan masalah homologation ini pada minggu pertama bulan Ogos, PKBM berjaya memastikan arahan itu dipenuhi tepat pada masanya,” tegas Amarjit yang juga merupakan Presiden Persatuan Lumba Basikal Perak (PCA).

Ternyata kerja keras Amarjit dalam tempoh tiga tahun ini untuk membaik pulih Velodrom Rakyat cukup berbaloi walaupun menghadapi pelbagai rintangan, masalah dan halangan.

Selepas ketiadaan sumber kewangan dan memohon bantuan daripada kerajaan pada 2015, KBS di bawah Khairy Jamaluddin sebelum ini bersetuju menyediakan peruntukan RM11 juta untuk mengatasi masalah kerosakan pada struktur terutama trek kayu yang sudah uzur.

Walau bagaimanapun timbul masalah apabila kerja baik pulih velodrom pertama negara itu, yang pembinaan asalnya menggunakan sumbangan orang ramai hasil inisiatif Tan Sri Darshan Singh iaitu bapa Amarjit sendiri, berdepan masalah apabila didakwa tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan UCI.

Berbulan-bulan lamanya pro­ses pemulihan dilakukan untuk memastikan 17 perkara yang diarah UCI untuk dapat diperbaiki dan dipenuhi bersama-sama dengan kontraktor dan pembina trek dari Belanda.

Ini termasuk Amarjit terpaksa berulang alik ke Switzerland bagi mematuhi peraturan ketat UCI selain tekanan yang diberikan kerajaan negeri Perak dan KBS.