Selepas menjuarai acara 200 meter pecut tandem buta dan 3 kilometer (km) kejar mengejar tandem buta sebelum ini, hari ini gandingan itu meraih satu lagi pingat emas menerusi acara 500 meter ujian masa tandem buta.

Mengulas kejayaan itu, Adilla berkata, apa yang penting bukan tiga emas yang dimenangi mereka di ACC ini tetapi lebih utama adalah catatan masa peribadi terbaik yang berjaya dilakukan.

“Ia akan menjadi penanda aras untuk kami beraksi di pentas yang lebih besar seperti kejohanan para dunia hujung bulan ini, Sukan Komanwel pada April dan Sukan Para Asia pada September ini.

“Kami telah berjaya memperbaiki masa peribadi dalam ketiga-tiga acara dan ini satu petanda baik untuk kami pergi lebih jauh walaupun saingan di ACC ini tidaklah begitu sukar,” katanya selepas perlumbaan.

Azlia-Adilla adalah antara 10 pelumba para yang akan dihantar beraksi pada kejohanan para dunia di Apeldoorn, Belanda dari 28 Februari hingga 4 Mac ini.

Selain emas daripada Azlia-Adilla, skuad basikal para negara menokok empat lagi pingat emas pada saingan hari terakhir hari ini menerusi acara 1km ujian masa lelaki tandem buta lelaki, pecut berpasukan kecacatan campuran lelaki, 1km ujian masa kategori C4-C5 lelaki dan kategori C1-C3 lelaki.

Emas 1km ujian masa lelaki tandem buta dimenangi gandingan Aiman Asyraff Ahmad Bajuri/Mohd. Faizal Mohamed Noh (pilot) manakala emas pecut berpasukan dimenangi gandingan Muhammad Adi Raimie Amizazahan, Mohd. Najib Turano, Zuhairi Ahmad Tarmizi yang menewaskan trio Iran di final.